Qatar Gesa Arab Saudi Cabut Syarat Ibadah Umrah

Qatar Gesa Arab Saudi Cabut Syarat Ibadah Umrah

Penerbangan dari Qatar ke Arab Saudi masih dilarang

qatar umroh
DOHA, 7 Ramadan 1440H, Ahad – Qatar menggesa Arab Saudi untuk menghapuskan semua sekatan dan halangan yang menyusahkan rakyat negara itu daripada melakukan ibadah umrah sepanjang Ramadan ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam menegaskan, Doha menggesa Riyadh memberi layanan sama rata kepada rakyat Qatar sebagaimana diberi kepada semua negara lain.

Kementerian itu memaklumkan bahawa penerbangan terus dari Qatar ke Arab Saudi masih diharamkan dan satu-satunya pelabuhan di antara kedua-dua negara juga ditutup.

Arab Saudi juga tidak membenarkan pengendali agensi umrah memasuki negara itu bagi memohon permit untuk pelanggan mereka, namun penganjur dari negara-negara lain dibenarkan berbuat demikian.

Justeru, kementerian itu menegaskan bahawa Arab Saudi perlu mengkaji sekatan dan halangan ini dan mengelakkan daripada mempolitikkan urusan agama.

Selasa lalu, Riyadh mengumumkan rakyat Doha yang hendak melakukan umrah perlu berdaftar dalam satu laman sesawang yang dikhaskan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, semua warga Qatar dikehendaki tiba sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, atau di Lapangan Terbang Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *